Khamis, 5 November 2009

PAYPAL KINI KIAN MESRA DENGAN RAKYAT MALAYSIA...


Saya pernah menulis mengenai ‘Apa itu PayPal’ pada lebih setahun yang lalu. Namun, pada ketika itu, layanan PayPal kepada warga Malaysia tidaklah begitu baik. Bagaikan anak tiri. Walau pun PayPal membenarkan rakyat Malaysia membuka akaun dengan dengannya dan berurusniaga dengan menggunakan kemudahan tersebut untuk berurusniaga, namun PayPal tidak membenarkan pendapatan yang diperolehi melalui PayPal, dikeluarkan di bank-bank di Malaysia.

Hal ini menerbitkan rasa tidak selesa dan kesukaran di kalangan pelanggan-pelanggan PayPal warga Malaysia. Maka lahirlah beberapa ebook yang ditulis oleh IM berpengalaman, mengajar kita bagaimana untuk menguruskan wang Paypal secara bijaksana. Namun begitu, kaedah-kaedah yang disarankan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan. Maka timbullah pula alternatif lain, yang sebenarnya adalah diluar batas perundangan dan kebenaran PayPal sendiri, iaitu secara berjual beli. Aktiviti sebegini sebenarnya boleh mengundang risiko kepada pengguna PayPal jika dapat dikesan oleh mereka.

Kekangan PayPal kepada rakyat Malaysia (dan beberapa negara lain juga) mempunyai alasan yang tertentu. Khabarnya, rakyat Malaysia adalah di antara yang ramai melakukan penipuan di internert. Sejauh manakah kebenarannya dakwaan itu tidaklah saya ketahui, kerana saya sendiri sebenarnya masih mentah mengenai hal-hal seumpama ini.

Namun kini tidak begitu lagi. PayPal nampaknya sudah mula lunak dan mesra dengan rakyat Malaysia. Bermula dengan kemudahan mengeluarkan wang melalui kad kredit pada tahun lalu, kini maju setapak lagi di mana wang anda di PayPal sudah boleh dikeluarkan melalui pelbagai bank di Malaysia. Untuk lebih pasti mengenai hal ini, anda boleh merujuk di laman web PayPal sendiri. Kadar yuran yang dikenakan untuk proses pengeluaran juga boleh dikatakan agak berpatutan, iaitu hanya RM3.00 untuk jumlah di bawah RM400.00. Jika anda mengeluarkan wang lebih dari jumlah tersebut, anda tidak akan dikenakan sebarang caj.

PayPal juga telah membenarkan urusniaga di dalam matawang Ringgit Malaysia (MYR). Ini sesuatu yang sangat menarik. Walau pun ianya hanya dibenarkan untuk urusniaga di dalam wilayah Malaysia sahaja, ianya dirasakan sudah sangat memadai. Dengan kebolehan ini, rakyat Malaysia yang ingin berjual beli sesama sendiri, yang menggunakan kad kredit atau pun PayPal, tidak perlulah lagi terlebih dahulu terpaksa menukarkan nilai RM kepada matawang USD. Masalah juga akan timbul apa bila berlakunya turun-naik pada nilai USD itu sendiri. Berkemungkinan akan berlaku kerugian jika nilai USD naik, dan kita pula tidak mengemaskinikan harga produk pada kadar semasa.

Satu lagi perkembangan yang menarik ialah, anda kini sudah boleh mengikuti PayPal dengan dua bahasa pilihan, iaitu Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia. Jika anda tidak mahir berbahasa Inggeris, mungkin sedikit sebanyak Bahasa Indonesia boleh membantu. Ini kerana Bahasa Indonesia mempunyai banyak persamaan dengan Bahasa Malaysia. Namun anda masih perlu berhati-hati juga kerana terdapat istilah-istilah Bahasa Indonesia yang mungkin asing dengan kita. Antaranya adalah seperti rekening (akaun), saldo (baki), kartu (kad), aman (selamat) dan sebagainya.

Dengan perkembangan mutakhir ini, maka kedai online kami, Kedaisiberneka, turut mengambil kesempatan dan manfaat darinya. Kedaisiberneka kini turut menerima pembayaran melalui PayPal. Kepada anda yang aktif berinternet, dan sering membeli-belah secara online, kenapa tidak untuk turut menggunakan PayPal ? Ianya adalah satu lagi pilihan selain dari menggunakan khidmat perbankan secara online yang sedia ada. Jangan khuatir, kerana tiada apa-apa bayaran yang dikenakan jika hanya sekadar untuk membuka akaun di PayPal.

_______________________________________________________________

UPDATE !
Kepada anda yang ingin mempelajari dan mendapatkan maklumat terkini mengenai PayPal, sila klik pada banner di bawah


Tiada ulasan: