Ahad, 16 November 2008

HADIAH ISTIMEWA BUAT SANG ISTERI...

Telah menjadi satu kelaziman di dalam musim kenduri perkahwinan, ialah amalan saling memberi hadiah di antara satu sama lain. Para tetamu datang dengan hadiah yang pelbagai rupa, atau sekurang-kurangnya dengan unjukan sejumlah wang, sebagai meraikan kegembiraan tuan rumah. Sementara tuan rumah pula, tidak akan membiarkan para undangannya pulang dengan tangan kosong. Sedikit sebanyak, akan dibekalkan dengan bunga telur, atau cenderamata lainnya sebagai tanda kenangan untuk dibawa pulang.

Begitu juga halnya dari pihak kedua belah pengantin. Istilah yang selalu didengar untuk pemberian seumpama ini dinamakan sebagai ‘hantaran’. Diantara perkara yang menjadi kelaziman sebagai isian dulang hantaran itu ialah persalinan pakaian, barangan kemas, atau pun makanan.

Kenapa tidak, didalam mencari kelainan, dan didalam menyatakan perasaan kasih dan sayang kepada bakal isteri, kita keluar sedikit dari kebiasaan itu. Kasih sayang tidak seharusnya diukur dengan nilai kebendaan semata-mata. Ketenteraman rohani, adalah asas yang lebih kukuh di dalam memastikan kebahagian rumahtangga. Dan didalam mencapai keteguhan rohani itu, ibadah yang sempurna adalah akarnya. Sementara ibadah yang sempurna pula memerlukan ilmu yang secukupnya.

Buku “Hadiah Buat Muslimah : Panduan Asas Fiqah Wanita” mungkin hadiah atau ‘hantaran’ yang terbaik buat bakal isteri anda, disamping barang-barang hantaran yang sedia ada. Jika anda secara peribadi mengakui hakikat diri, bahawa anda tidak mampu membimbing bakal isteri anda, walau pun sekadar di dalam perkara-perkara asas ibadah harian, maka mengapa tidak menjadikan buku ini sebagai hadiah pertama buat bakal isteri anda.

Buku ini disusun oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, seorang pendakwah bebas yang terkemuka, serta dibantu oleh Ida Ezyani Othman. Ianya mengandungi sebanyak 11 bab semuanya, yang mencakupi : Islam dan Wanita, Wanita dan Bersuci, Wanita dan Solat, Wanita dan Puasa, Wanita dan Zakat, Wanita dan Haji, Wanita dan Perkahwinan, Wanita dan Pergaulan, Wanita dan Perhiasan, Wanita dan Kewajipan Dalam Islam, dan Perbezaan Wanita Islam dan Agama Lain.

Jika dilihat pada judul-judul bab di atas, ianya sudah amat mencukupi sebagai keperluan asas (fardhu ain) untuk melakukan ibadah bagi seseorang muslimah. Buku ini amat sesuai untuk semua peringkat umur, dan tidak mengira apa pun status anda, sama ada anda seorang remaja, isteri, ibu, mahu pun nenek. Ianya juga sesuai untuk dijadikan sebagai teman setia untuk dibawa kemana-mana, sepanjang perjalanan, dan di sepanjang kehidupan.

Kepada anda yang berminat untuk memiliki buku ini, ianya boleh didapati di kedai-kedai buku terkemuka, atau untuk lebih mudah, pesan sahaja secara online di AdikBijak.com

Tiada ulasan: