Saya ingin menyampaikan satu berita baik kepada anda. Kalau anda sudah pun tahu mengenainya dari sumber yang lain, tidak mengapa. Saya masih mahu merakamkannya di blog ini sesuai sebagai fungsinya sumber maklumat asas mengenai perniagaan internet, dan penjanaan pendapatan lainnya melalui internet.
Berita baik yang ingin saya khabarkan itu ialah mengenai Clickbank. Sebagai mana judul pos ini, Clickbank kini telah pun dibuka kepada rakyat Malaysia untuk menyertainya, setelah menutup pintunya sejak sekian lama. Saya telah mendapat berita ini beberapa hari yang lalu. Namun sengaja saya menangguhkan penulisan ini bagi memastikan kesahihannya.
Beberapa ketika sebelum ini kita pernah diberitakan dengan berita seumpama itu, tetapi nama Malaysia kemudiannya dipadamkan kembali sehari selepas itu. Untuk mengelakkan dari kejadian seumpama itu, saya cuba berhati-hati.
Walau bagaimana pun, menurut maklumat dari rakan-rakan yang telah menghubungi pihak Clickbank, berita ini memang benar. Jika benar begitu, maka satu lagi peluang untuk rakyat Malaysia membuat duit di internet sedang terbuka luas, selain dari Google Adsense dan sebagainya.
Apa itu Clickbank ?
Saya bukanlah pakar mengenai Clickbank ini. Namun saya pernah menulis serba sedikit mengenai ‘Apa Itu Clickbank’ di blog ini setahun yang lalu (Ngam-ngam setahun!). Sekadar maklumat asas sahaja.
Secara mudahnya Clickbank bolehlah dikatakan sebagai pusat atau bursa kepada pemasaran produk berbentuk digital di internet, seumpama ebook dan perisian. Di sini merupakan tempat pertemuan tiga pihak; penjual, pembeli dan ejen penjual. Ejen penjual yang dimaksudkan di sini ialah peserta program affiliate yang dianjurkan oleh Clickbank. Di sinilah peluang yang sangat terbuka luas untuk orang awam menjana pendapatan. Untuk menghasilkan produk digital yang bermutu mungkin bukan kemampuan kepada semua orang. Tetapi untuk mencari pendapatan tambahan melalui program affiliate, ianya adalah sesuatu yang munasabah.
Maka marilah kita bersama-sama merebut peluang ini. Kepada anda yang masih belum mempunyai akaun Clickbank, anda boleh mendaftarkan diri secara percuma di sini : Clickbank.com.
Diharapkan juga selepas ini nanti akan lahir pula lebih banyak lagi ebook panduan mengenai Clickbank ini di dalam Bahasa Melayu dari mereka yang telah mempunyai pengalaman luas di bidang ini. Kali terakhir saya membaca ebook yang berkisar mengenai Clickbank ini ialah ‘Chapter-M’ yang ditulis oleh saudara Gobala Krishnan. Namun ebook beliau tersebut nampaknya sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan mutakhir ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan