Kepada semua pengunjung blog ini, khususnya anda yang beragama Islam, saya mengucapkan Selamat menyambut Ma'al Hijrah!
Kita baru sahaja menyambut tahun baru Masehi kira-kira sembilan hari yang lalu. Kini hadir pula satu lagi 'tahun' untuk takwim bagi umat Islam. Jika di awal tahun Masehi, kita sering membicarakan soal azam baru, maka di Awal Muharram ini, istilah azam itu lebih kenali dengan perkataan hijrah. Hijrah yang membawa maksud perpindahan, yang diangkat dari sejarah perpindahan Rasulullah s.a.w, dari kota Mekah ke kota Madinah, kini telah digunakan secara maknawinya sebagai 'penghijrahan' dari suasana yang kurang baik kepada yang lebih baik. Maka akan timbullah pertanyaan sesama rakan ; Apa 'hijrah' anda tahun ini ?
Agak mengecewakan juga apabila melihat umat Islam sendiri menyambut dingin sambutan Ma'al Hijrah. Jika kita melihat pada awal tahun baru yang lalu, ada ibubapa yang sanggup membawa anak-anak kecil ke Dataran Merdeka untuk sama-sama merayakan tahun baru dengan manusia-manusia yang lainnya, namun suasana ini tidak berlaku pada malam tahun baru Hijrah ini.
Memang tidak ada anjuran sambutan di malam tahun baru Hijrah di Dataran Merdeka. Namun Islam mempunyai kaedah yang tersendiri di dalam menyambut tahun baru ini. Hari akhir tahun disudahkan dengan doa akhir tahun, kemudian diikuti pula dengan doa awal tahun apabila kita mula melangkah ke tahun baru.
Di masjid-masjid dan surau ada menyeliakan majlis doa akhir dan awal tahun ini. Maka mengapakah kita tidak sama-sama turut memenuhi masjid dan surau ini, bersama keluarga, untuk merayakan sesuatu yang berlaku hanya sekali di dalam setahun ?
Dengan pengharapan, semoga di tahun hadapan akan ada sedikit perubahan dan 'penghijrahan' untuk situasi ini, saya sekali lagi mengucapkan; Selamat Tahun Baru 1429 Hijrah !
MA'AL HIJRAH !
KA'AB
1hb. Muharram, 1429H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan