Selasa, 23 Oktober 2007

JOM KITA RAYAKAN KEMENANGAN KEDUA !

Salam sejahtera ! Dan Selamat Hari Raya !

Pos hari ini adalah merupakan pos pertama saya semenjak cuti hari raya ini. Oleh kerana kita masih lagi berada di dalam suasana dan kehangatan hari raya, maka penulisan hari ini juga masih lagi di sekitar puasa dan raya.

Pada hakikatnya, Hari Raya Aidil Fitri yang dianugerahkan Allah kepada hambanya yang berpuasa di bulan Ramadhan itu cuma satu hari sahaja, iaitu pada 1 haribulan Syawal. Ianya merupakan anugerah dari Allah s.w.t sebagai meraikan kemenangan melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Hal ini hendaklah kita sama-sama mengambil perhatian kerana akhir-akhir ini ungkapan "puasa sebulan, maka raya pun sebulan", sudah sering menjadi sebutan dan amalan.

Sebutan yang pada mulanya hanya sekadar gurauan, ditakuti akan kekal berpanjangan dan seterusnya menjadi amalan generasi di kemudian hari. Di akhir zaman ini, terlalu banyak perkara-perkara yang kelihatannya seperti ibadah, namun apabila diselidiki, tidak diamalkan mahu pun dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Dan apabila perkara ini ditimbulkan, menjadi perbalahan pula sesama umat Islam.

Melihat kepada cara gaya generasi kita hari ini menyambut Aidil Fitri, terkadang terdetik pertanyaan di hati; apakah ini hari raya yang disyariatkan Allah kepada kita ? Jika di bulan Ramadhan, kita berpuasa, dan kita meriahkan lagi dengan bertadarrus, bertarawikh, beri'ktikaf, berqiamullail, tetapi apabila di hari raya, apa yang hebat menonjol ialah hiburan, nyanyian, tarian, pesta makanan dan fesyen pakaian. Seolah-olahnya tiada kerelevanan di antara keduanya. Sekali lagi pertanyaan; inikah yang Tuhan mahu kita lakukan ?

Anda mungkin tertanya-tanya apakah yang saya maksudkan dengan tajuk pos saya hari ini ? Apakah yang dimaksudkan dengan kemenangan kedua ? Di bulan Syawal, ini terdapat satu amalan sunat yang sangat-sangat dituntut kita melakukannya. Ianya sering disebut sebagai puasa enam. Menurut mafhum hadis, sesiapa yang mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, dan diikuti dengan puasa sunat selama enam hari di bulan Syawal, kita akan mendapat pahala seolah-olah kita berpuasa setahun.

Hukum untuk ibadah puasa enam ini hanyalah sunat sahaja. Namun begitu, mulai hari ini, marilah kita sama-sama tidak meremehkan perkara-perkara yang sunat ini ("Alah! Sunat je !"). Menurut seorang ustaz, ketika itu saya masih kecil lagi; Ibadah wajib, jika hendak diumpamakan sebagai perniagaan, kita hanya baru balik modal sahaja. Ini kerana, jika kita tidak melakukannya, kita akan mendapat dosa. Sementara amalan sunat pula adalah merupakan keuntungan kepada perniagaan itu. Ini kerana jarang sekali orang melakukan perkara sunat dalam keadaan terpaksa melainkan ia melakukan kerja yang sia-sia. Pahala dari amalan sunat inilah yang bakal menentukan beratnya timbangan amalan kita di akhirat nanti.

Jika Hari Raya Aidil Fitri adalah merupakan perayaan untuk meraikan kemenangan kepada mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan, maka jika kita berjaya melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini, maka kita berhak untuk merayakan kemenangan. Itulah yang saya maksudkan dengan kemenangan kedua! Memang tidak ada hari raya untuk ibadah puasa enam. Apa yang dimaksudkan dengan kemenangan ialah kemampuan atau keberjayaan melaksanakan. Memang terlalu berat untuk melakukan perkara sunat, walau pun untuk sekadar solat dua rakaat. Mudah-mudahan segala pendidikan dan latihan yang telah kita lalui selama sebualan di Ramadhan yang lalu, telah memberi kita kekuatan untuk kita melakukan semua ini... amin !

KA'AB
Rabu, 12hb Syawal, 1428H.
(Ada 12 hari lagi untuk kita melakukannya!)

Tiada ulasan: