Rabu, 10 Oktober 2007

SALAM AIDIL FITRI...

Diam tak diam, Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat masa berlalu. Di dalam keghairahan menyambut 1 Syawal, ada sekelumit rasa kesedihan di hati. Ya, Ramadhan akan meninggalkan kita. Ramadhan yang akan datang belum pasti kemunculannya. Jika dia tetap datang, belum pasti lagi kita akan bersamanya.

Berakhir sudah kemeriahan selama sebulan ini. Kemeriahan yang akan kita rindukan. Kemeriahan yang saya maksudkan bukanlah kemeriahan di Pasar Ramadhan, Bazar Ramadhan atau pun kemeriahan di kompleks membeli belah. Kemeriahan seperti itu akan sering kita lihat setiap kali musim perayaan. Tetapi kemeriahan yang saya maksudkan ialah kemeriahan umat Islam beribadat di masjid dan di surau-surau. Entah kenapa, apabila berakhir sahaja Ramadhan, maka akan berakhirlah semua itu.

Semasa di awal Ramadhan, betapa seronok dan bersemangatnya beribadah kerana jemaah di masjid dan surau melimpah ruah. Itulah hikmahnya hidup berjamaah. Segala yang dilakukan akan menjadi seronok dan bersemangat. Namun setelah pulang dari cuti perayaan ini nanti, surau dan masjid akan kembali seperti dahulu. Seperti sebelum Ramadhan muncul. Masjid dan surau akan hanya kembali dikunjungi oleh mereka yang setia sahaja. Begitulah yang telah dan sering berlaku selama ini. Atau... apakah akan ada keajaiban selepas ini ?

Kata seorang ustaz di dalam tazkirahnya; bulan Ramadhan adalah bulan untuk mendidik diri. Saya juga pernah mendengar seorang pakar motivasi menyebut; untuk mengubah sikap atau tabiat, kita perlu melalui proses pemulihan selama 21 hari secara konsisten. Maka sebulan Ramadhan adalah tempoh yang sangat mencukupi untuk kita berubah. Sepatutnya, selepas sahaja Ramadhan, segala sikap dan tabiat yang telah kita pupuk selama sebulan itu, akan terus berkekalan. Di manakah silapnya ?

Tulisan ini hanyalah sekadar renungan untuk memuhasabah diri sendiri. Jika anda merasa terusik dengan tulisan ini, jadikanlah ia sebagai perkongsian rasa dari saya.

Di kesempatan ini, saya juga ingin Selamat Hari Raya kepada semua pengunjung blog ini. Mudah-mudahan hari raya ini adalah Hari Raya yang sebenar-benarnya, sebagaimana yang sepatutnya yang dianugerahkan Allah kepada hambanya untuk meraikan kemenangan di atas segala dugaan, dan di atas pencapaian terbaik kita di sepanjang Ramadhan ini. Keraian yang penuh dengan kesyukuran dan keinsafan.

Marilah kita mengelakkan dari merayakan 1 Syawal ini seolah-olah kita telah terlepas dari penderitaan berlapar dan dahaga. Maka kita pun merayakannya dengan penuh keriangan, seolah-olah ingin mengqadha kembali segala-gala yang terhalang selama sebulan. Tarian, nyanyian dan fesyen menjadi pengisian. Takbir yang membesarkan Allah tenggelam di tengah-tengah segala keasyikan.

InsyaAllah, besok, bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang lain saya akan pulang ke desa yang penuh dengan kenangan. Berkumpul bersama keluarga tercinta, bertemu dengan teman-teman lama, ini sahajalah kegembiraan yang tinggal di hari raya di usia sebegini.

Semoga kita semua akan selamat di dalam perjalanan nanti... amin !
Salam Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin...

Tiada ulasan: